Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian dan penutup taklimat dan penerangan kerja pemulihan projek terbengkalai pembesaran Kampung Serendah Perdana, Mukim Serendah dan projek pembesaran Kampung Jawa (Desa Beringin), Mukim Kerling, Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah pada 9 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bangun semula dua projek terbengkalai 26 tahun di Hulu Selangor

OLEH DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 9 OGOS: Kerajaan Negeri melantik pemaju perumahan baharu bagi membangun semula projek perumahan di Kampung Serendah Perdana dan Kampung Jawa (Desa Beringin) selepas terbengkalai kira-kira 26 tahun.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri membelanja RM18 juta untuk kedua-dua projek terbabit yang terbengkalai sejak 1997 akibat kegagalan dua kontraktor terdahulu.

“Kerajaan Negeri melantik Xeranti Sdn Bhd sebagai pemaju penyelamat setelah ambil kira kepentingan semua pihak dengan tetapkan beberapa syarat antaranya mendapatkan persetujuan 192 pemilik yang menuntut hak mereka di Kampung Serendah Perdana dan 119 pemilik tanah di Desa Beringin dalam tempoh enam bulan dari tempoh lantikan.

“Pemaju juga perlu sediakan jaminan bank berjumlah RM2 juta serta akujanji kepada Kerajaan Negeri sebagai komitmen serta perlu selesaikan pemulihan projek dalam tempoh 36 bulan dari tarikh lantikan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis taklimat dan penerangan kerja pemulihan projek terbengkalai pembesaran Kampung Serendah Perdana dan Desa Beringin yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Komuniti Serendah di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari bergambar bersama pemilik tanah pada majlis perasmian dan penutup taklimat dan penerangan kerja pemulihan projek terbengkalai pembesaran Kampung Serendah Perdana, Mukim Serendah dan projek pembesaran Kampung Jawa (Desa Beringin), Mukim Kerling, Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah pada 9 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Tegas Rodziah kejayaan pemulihan projek terbabit hanya dapat dicapai dengan sokongan penuh pemilik hartanah kedua-dua projek terbengkalai itu.

“Projek ini bukan sekadar melibatkan pemulihan pembinaan fizikal semata-mata tetapi ia bertujuan cipta komuniti teratur dari aspek sosial dan ekonomi.

“Jika berjaya kita akan saksikan kawasan perumahan harmoni dan berkembang maju bukan sahaja bagi pemilik tetapi juga bagi generasi akan datang,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Xeranti Sdn Bhd Basarudin Mohd Tapi menjelaskan pemilik hartanah diberi tiga pilihan tawaran meliputi pembayaran ex-gratia sekiranya mereka tidak lagi berminat untuk meneruskan kerja pembangunan.

“Pilihan kedua sekiranya pemilik mahukan pembangunan di kawasan sedia ada, kita tawarkan harga istimewa bagi setiap unit kediaman dengan menolak wang pendahuluan yang telah dibayar sebelum ini.

“Manakala pilihan ketiga pemilik di Serendah Perdana boleh memilih untuk dapatkan perumahan di Desa Beringin,” katanya.


Pengarang :