AGENDANASIONAL

Berang kerap dimarahi, anak pukul bapa guna penyodok pasir hingga mati

SHAH ALAM, 29 OGOS: Berang terlalu kerap dimarahi berikutan malas bekerja dipercayai punca seorang lelaki memukul bapanya dengan penyodok pasir hingga mati di Bandar Sunway, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kejadian berlaku ketika dua beranak itu bertengkar isu sama sekitar 12 tengah malam, lapor Berita Harian.

Berdasarkan siasatan, beliau memaklumkan suspek yang berusia 40-an sudah dua tahun tidak bekerja dan kerap menghabiskan wang untuk membeli minuman keras.

“Perkara itu menjadikan mangsa kerap memarahi suspek sehingga pada hari kejadian suspek dipercayai hilang sabar dan memukul kepala serta tubuh bapanya beberapa kali dengan penyodok pasir.

“Suspek kemudian membalut tubuh bapanya yang tidak sedarkan diri dengan langsir dan dimasukkan ke dalam kereta sebelum memandu ke Jalan PJS 10/24 dan mencampak bapanya di tepi jalan,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata saudara mangsa yang menyedari kehilangan mangsa menemuinya dalam keadaan terbaring di tepi jalan, dua kilometer dari rumah mangsa sekitar jam 2.15 pagi, hari sama.

Bagaimanapun, pasukan Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke PPUM untuk bedah siasat.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kes jenayah berkaitan kes pecah amanah dan memiliki senjata berbahaya, manakala ujian saringan air kencing negatif,” katanya.

Suspek direman tujuh hari hingga 2 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Pengarang :