Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Datuk Jahaya Ibrahim bertemu pengundi di sekitar Puncak Alam pada 4 Ogos 2023. Foto Facebook Jahaya Ibrahim
ADNSELANGOR

Bina balai polis, bomba di Puncak Alam antara isu dibawa calon BN Jeram

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram akan membawa isu kekurangan kemudahan asas di Puncak Alam ke peringkat Putrajaya jika menang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Datuk Jahaya Ibrahim berkata hubungan antara negeri dan pusat dari kerajaan yang sama lebih memudahkan beliau mengemukakan cadangan pembinaan balai polis, bomba dan klinik kesihatan di kawasan tersebut.

“Ketika ini klinik desa terletak agak jauh iaitu di Bukit Cherakah. Balai bomba pula di Bestari Jaya dan balai polis terletak di Saujana Utama.

“Kemudahan ini diperlukan kerana penduduk semakin padat dan kawasan Puncak Alam semakin membangun. Hasrat ini lebih mudah dilaksana sekiranya pentadbiran Kerajaan Negeri sama dengan Kerajaan Pusat,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu ditanya mengenai kempen PRN, beliau berkata kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) memudahkan gerak kerja bertemu pengundi.

“Setakat ini, kempen berjalan lancar kerana kebanyakan penduduk sudah mengenali saya. Malah sokongan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turun padang berkempen memberi semangat kepada saya untuk lebih kuat bekerja,” katanya.

 


Pengarang :