Calon Sungai Burong Mohamad Khir Ramli (dua, kiri) beramah mesra dengan peniaga dan menerangkan berkenaan Tawaran Kita Selangor ketika berkempen di sekitar pekan Tanjong Karang pada 3 Ogos 2023. Foto Facebook Mohamad Khir Ramli
ADNSELANGOR

Calon BN pergiat kempen, yakin tawan Sungai Burong

TANJONG KARANG, 8 OGOS: Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Burong Mohamad Khir Ramli yakin menang kerusi berkenaan berdasarkan sambutan baik pengundi sepanjang minggu pertama kempen.

Mahu melipat ganda kempen pada minggu seterusnya, beliau menjelaskan kebanyakan penduduk kawasan berkenaan mengenali beliau berikutan penglibatannya dalam politik agak lama.

“Selain itu, faktor saya bekerja dengan pejabat agama lebih kurang 10 tahun juga buat orang mengenali saya,” kata naib ketua Umno Bahagian Tanjong Karang itu semalam.

Beliau sebelum ini mengajar pendidikan agama di empat sekolah kebangsaan antara 1990 hingga 1999 selain bertugas di pejabat agama di negeri ini sehingga 2008.

Dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos, beliau berdepan Dr Mohd Zamri Mantop daripada Perikatan Nasional dalam pertandingan satu lawan satu.


Pengarang :