Kanak-kanak bermain di sekitar replika Menara Berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur yang diperbuat daripada botol mineral sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 ketika tinjauan di Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang pada 28 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua beradik bina ‘mercu negara’ guna 1,000 botol minuman terpakai

KUALA SELANGOR, 30 OGOS: Dua beradik mengambil inisiatif membina dua mercu kebanggaan negara menggunakan lebih 1,000 botol minuman terpakai.

Ahmad Afif Mohd Zailani, 16, dan adiknya, Ahmad Afiq, 15, membina replika Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) di kediaman mereka di Kampung Sungai Kajang Baru di sini.

Ahmad Afif berkata idea itu tercetus apabila mereka mahu menyertai pertandingan video TikTok Jom Kitar Semula anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa, Tanjung Karang.

“Hadiah yang ditawarkan agak lumayan, iaitu jam pintar. Ia memberi semangat kepada saya dan adik untuk menang walaupun kami berdua menghantar penyertaan secara berasingan.

“Kami juga bertuah kerana mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapa dan ahli keluarga. Ibu dan ayah yang banyak membantu dari awal hingga akhir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ahmad Afif Mohd Zailani dan adiknya Ahmad Afiq membina replika Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur di kediaman mereka di Kampung Sungai Kajang Baru pada 27 Ogos 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Bapanya, Mohd Zailani Juni, 40, berkata mereka mula mengumpul botol minuman terpakai sejak 27 Julai lalu dengan mengamalkan membawa beg plastik ke mana sahaja termasuk di pejabat.

Menurutnya, cadangan membina replika KLCC dan Menara KL setinggi enam kaki itu bagi memberi kelainan, selain menyemarakkan semangat cintakan negara sempena Hari Kemerdekaan ke-66.

“Kami turut berhadapan dengan sedikit cabaran terutamanya dalam mengumpul botol minuman terpakai ini. Bukan semua jenama boleh digunakan kerana saiz mereka berbeza.

“Saya dan isteri, Norazizah Imam Muhairi, 40, bersemangat mahu ia disiapkan. Saya yang cadangkan supaya mereka bina sesuatu yang besar dan mencabar, sesuai dengan tahap umur mereka,” katanya.

Mohd Zailani menambah, beliau sekeluarga terkejut apabila video TikTok penyertaan itu menjadi tular dan menarik minat ramai orang untuk melihat kedua-dua replika tersebut secara dekat.

Jelasnya, mereka turut mendapat pelawaan Jabatan Penerangan Selangor bagi menyertai pertandingan Anugerah Semarak Gemilang 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000.


Pengarang :