Penyokong mengibarkan bendera Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk meraih undi penduduk di Taman Dato’ Harun pada 11 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Empat calon HARAPAN-BN kemuka petisyen bantah keputusan PRN

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 15 OGOS: Empat calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor akan memfailkan petisyen bagi membantah keputusan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.

Mereka ialah calon Taman Medan Ahmad Akhir Pawan Chik, calon Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Dengkil Noorazli Said dan calon Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Keempat-empat calon itu tewas tipis bawah 500 undi dengan Taman Medan kalah majoriti 30 undi,
Gombak Setia (58 undi), Sungai Kandis (167 undi) dan Dengkil (407 undi).

Ahmad Akhir ketika dihubungi berkata pihaknya sedang mengumpul dokumen berkaitan untuk diserahkan kepada peguam sebelum surat permohonan atau rayuan itu dikemukakan.

“Kami akan failkan bantahan dalam tempoh dua minggu,” katanya yang tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Afif Bahardin yang meraih 22,316 undi.

Dua lagi calon BN Megat Zulkarnain dan Norazli turut membuat tindakan sama dengan mengumpul bukti untuk diserahkan kepada mahkamah bagi pertimbangan sewajarnya.

Norazli tewas kepada Datuk Seri Jamil Salleh (PN) yang mendapat 33,561 undi, sementara Megat Zulkarnain dikalahkan Muhammad Hilman Idham (PN) yang memperoleh 30,299 undi.

Bekas EXCO negeri Mohd Zawawi sebelum ini memberitahu akan memfailkan petisyen dalam tempoh 21 hari susulan dakwaan 1,964 kertas undi di kawasan itu tidak dikembalikan.

Beliau yang berdepan saingan tiga penjuru ditewaskan calon PN Wan Dzahanurin Ahmad (28,926 undi).

Sebelum ini, Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mempertimbang untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan beberapa kerusi dimenangi PN dengan majoriti rendah.


Pengarang :