Penduduk tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan dapur pada program Jelajah Ehsan Rahmah di perkarangan Surau Dinussa’dah Taman Seri Perepat DUN Meru pada 17 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hampir 300 kunjungi JER di Taman Seri Perepat, telur dan ayam paling laris

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

KLANG, 17 OGOS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Taman Seri Perepat di sini terus mendapat sambutan apabila hampir 300 pengunjung hadir pagi tadi bagi mendapat barangan keperluan asas.

Penyelarasnya Abdul Rahman Ahmad berkata tawaran barangan dapur yang berkualiti pada harga murah mendorong lebih ramai pengunjung datang untuk mendapatkan barangan itu.

Penyelaras JER Taman Seri Perepat Abdul Rahman Ahmad

“Alhamdulillah, sambutan di sini tidak pernah mengecewakan, dan kebanyakan pengunjung yang ada hari ini bukan yang pertama kali datang.

“Apa yang istimewa hari ini, terdapat beberapa barangan tambahan lain ditawarkan kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui pada program JER berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memaklumkan pihaknya menguar-uarkan hebahan maklumat program jualan murah itu menerusi aplikasi WhatsApp agar tiada penduduk tidak terlepas.

Sementara itu, pegawai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Muhammad Syahmi Asymawi Solahudin berkata telur dan ayam paling laris terjual.

Pegawai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Muhammad Syahmi Asymawi Solahudin

“Untuk hari ini kami menyediakan 200 papan telur, 500 ekor ayam, 108 botol minyak, 300 kampit beras dan 200 pek ikan jenis mabung, sardin dan cencaru.

“Selain itu, kita ada juga bawa beberapa barangan tambahan lain seperti gula, tepung, bihun, sos cili, kicap, kaya, biskut, cili giling, sardin tin,” katanya.

JER menawarkan ayam standard serendah RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Beliau menambah JER kendalian PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri turut mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya hujung tahun lalu.


Pengarang :