Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Hari Kebangsaan: Agong, Permaisuri santuni rakyat pelbagai kaum

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Terkenal dengan sifat mesra rakyat, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyantuni rakyat pelbagai kaum yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini.

Baginda berdua dalam aksi spontan, luar daripada kebiasaan dan protokol, meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra, bersalaman dan mengambil swafoto dengan peserta perarakan dan pengunjung.

Pasangan diraja itu juga dilihat berpimpin tangan dan menyanyikan lagu Jalur Gemilang yang dimainkan di lokasi sambutan itu, ketika berjalan di pekarangan dataran.

Al-Sultan Abdullah turut dilihat mendukung seorang kanak-kanak lelaki dan Tunku Azizah pula memberi isyarat ‘mini love’, ‘flying kiss’ dan melambai kepada khalayak ramai.

Baginda berdua juga diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.

– BERNAMA


Pengarang :