Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Henti ulangi fitnah, tohmahan tutup sekolah agama tidak berasas

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta semua pihak tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Menegaskan tohmahan tersebut tidak berasas, beliau menerusi Twitter hari ini berkata isu berkenaan telah dijawab Kerajaan Negeri pada Julai lalu.

“Hentikan fitnah yang diulang-ulang. Telah dijawab semasa bulan Julai, dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama ditutup di Selangor adalah fitnah dan tidak berasas,” katanya.

Julai lalu, Amirudin menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri berusaha menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan tahap keselamatan murid terjamin.

Usaha berkenaan dibuat berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berikutan tragedi kebakaran pusat tahfiz pada 2018 yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.

Garis panduan khas sekolah agama persendirian yang berbeza dengan pusat tahfiz juga dibuat bagi memudahkan pusat pendidikan itu beroperasi tanpa mengabai aspek keselamatan pelajar.


Pengarang :