Ahli Jawatankuasa Kumpulan Sokongan Ibu bapa bersama ahli keluarga dan seramai 100 murid-murid berganding bahu mengangkat Jalur Gemilang sepanjang 50 Meter untuk digantung pada pagar Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa pada program mewarna Jalur Gemilang bersaiz besar pada 15 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ibu bapa ambil cuti, sertai aktiviti mewarna Jalur Gemilang bersama anak

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Melihat anak-anak gembira dan teruja meraikan Bulan Kebangsaan sangat bermakna bagi ibu bapa sehingga ada yang sanggup bercuti semata-mata untuk menemani mereka menyertai aktiviti bertujuan menyemai semangat patriotisme itu.

Antaranya program mewarna Jalur Gemilang gergasi anjuran Tadika Permata Al-Kauthar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kampung Baru di sini yang menyaksikan ibu bapa tidak melepaskan peluang memeriahkan aktiviti itu.

Kehadiran mereka dalam program itu menambah keterujaan dan keseronokan kanak-kanak kecil yang berusia lima dan enam tahun apabila mereka bekerjasama mewarna Jalur Gemilang di atas kain putih sepanjang 54 meter.

Siti Halma Mariza, 41, berkata beliau yang bekerja sebagai kerani di Damansara membuat permohonan cuti sebulan lebih awal supaya dapat meluangkan bersama anaknya pada program hari ini.

“Saya gembira dapat menemani anak saya dan terlibat sama mewarna Jalur Gemilang kerana penting bagi membantu perkembangan pembelajaran dan keyakinan diri pada peringkat prasekolah lagi.

“Keterlibatan ibu bapa dalam program seperti ini secara tidak langsung juga sebagai medium bersoal jawab tentang sesuatu isu berkenaan prasekolah mahupun berkaitan dengan pembelajaran anak-anak mereka dengan pihak sekolah,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Muhammad Asraf Adnan, 36, pula berkata beliau mengambil cuti daripada bekerja hari ini untuk bersama anaknya dalam aktiviti itu kerana peluang sedemikian tidak datang selalu, apatah lagi aktiviti yang berkaitan Bulan Kebangsaan.

“Walaupun nampak kecil aktiviti mewarna ini tetapi ia peluang bagi saya untuk memahami lebih dekat karakter anak saya semasa bersosial dengan kanak-kanak lain di tadika selain satu usaha untuk bentuk hubungan erat kekeluargaan,” katanya.

Sementara itu, ketua guru tadika berkenaan Che Rohmah Ahmad berkata aktiviti mewarna Jalur Gemilang itu julung kali diadakan dengan penglibatan seramai 200 ibu bapa dan kanak-kanak serta mengambil masa kira-kira 30 minit untuk disiapkan.

Katanya, turut diadakan aktiviti mengecap tapak tangan dengan pelbagai warna cat air di atas kain putih sebagai simbolik kesepakatan antara ibu bapa, anak-anak dengan guru-guru.

“Aktiviti seperti ini tidak akan berjaya tanpa penglibatan ibu bapa sepenuhnya, mudah-mudahan semangat cintakan negara dan nilai-nilai murni dapat ditanam dalam setiap diri kanak-kanak melalui aktiviti pembelajaran seperti ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :