Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Seri Johari Harun dan sembilan mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023. Foto Facebook Istana Negara
AGENDANASIONAL

Johari tokoh korporat berjaya sebelum ceburi politik, dilantik Exco

KUANTAN, 17 OGOS: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor hari ini, merupakan tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketokohan dan pengalaman luas dimilikinya membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang, walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional pada pilihan raya itu.

Pada PRU15, Johari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad, Pejuang (65 undi).

Anak jati Pahang yang dilahirkan pada 20 Januari 1970 itu adalah bekas pelajar Maktab Tentera Sungai Besi dan siswazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Gading Group Berhad.

Penglibatan beliau dalam bidang politik bermula secara rasmi apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong pada 2008 hingga 2013 sebelum menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 2018.

Beliau kemudiannya menerajui kepimpinan UMNO Bentong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan Mac lalu, mengambil alih tampuk kepimpinan itu daripada Tan Sri Adnan Yaakob yang memilih untuk bersara daripada politik.

Pada masa itu Johari menyatakan hasrat mahu menggunakan segala kudrat, idea dan pengalaman untuk memperkukuhkan parti dengan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memandangkan parti sedang berdepan situasi politik yang semakin mencabar.

Johari juga dilihat sebagai pelapis untuk menerajui kepimpinan UMNO Pahang, berdasarkan penglibatannya yang aktif di lapangan selain mempunyai keperibadian melaksanakan tugas dengan baik.

Selain politik, beliau juga aktif dalam bidang lain termasuk pendidikan kerana pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amanah Tuanku Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Ahli Lembaga Penasihat Industri Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selain berperanan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Bentong.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengesahkan berita kematian Johari akibat nahas berkenaan.

Sebelum itu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.

Dua daripada mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

– BERNAMA


Pengarang :