Calon Pakatan Harapan DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli menyantuni seorang pesakit kanser paru paru Fatimah Ali ketika program Ziarah Kasih di Taman Keramat, Hulu Kelang pada 2 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Juwairiya tumpu pengundi wanita, anak muda sepanjang kempen

Oleh AZIAN AZIZ

HULU KELANG, 3 OGOS: Mendekati sebanyak mungkin pengundi wanita dan anak muda merupakan antara strategi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang sepanjang kempen pilihan raya negeri kali ini.

Juwairiya Zulkifli berkata ini memandangkan kedua-dua golongan itu merupakan jumlah pengundi tertinggi di DUN Hulu Kelang dengan wanita 49 peratus dan anak muda 47 peratus (bawah 40 tahun).

Calon Harapan DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli menziarahi penduduk sekitar kawasan Enggang Selatan sewaktu program Ziarah Kasih di Taman Keramat pada 2 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Saya juga mengambil pendekatan berjumpa secara terus dengan mereka berbanding mengadakan ceramah semata-mata.

“Ini kerana jika berceramah yang datang kebanyakannya penyokong parti dan bukannya pengundi,” katanya yang berasal dari Lembah Keramat di sini.

Anak kedua daripada enam beradik itu juga menjelaskan beliau mahu memperkenalkan semula dirinya kepada warga Hulu Kelang kerana sebelum ini banyak menghabiskan masa menjaga kebajikan penduduk DUN Bukit Melawati.

“Dua-dua dekat di hati saya. Di sana kampung halaman ibu saya dan di sini tempat kelahiran dan membesar saya,” tambah Setiausaha Politik Menteri Besar itu.

Calon Pakatan Harapan DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli menyantuni pengunjung Pasar Malam AU1 ketika program beramah mesra di Keramat Permai pada 31 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Sebelum ini, Juwairiya berhasrat membuka kaunter pusat khidmat di beberapa kawasan bertujuan menguruskan keperluan masyarakat setempat.

Menurut beliau, kaunter itu berfungsi sebagai pusat informasi untuk menyebarkan maklumat mengenai pelbagai bantuan ditawarkan Kerajaan Negeri.

Juwairiya berdepan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Perikatan Nasional) pada pilihan raya negeri kali ini. Hari mengundi pula ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :