AGENDANASIONAL

Kastam gagalkan cubaan seludup dadah lebih RM3.2 juta di kargo KLIA

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM3.2 juta yang disembunyikan dalam bungkusan dagangan di kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 26 Julai lepas.

Dalam operasi pada kira-kira 1.10 tengah hari itu, anggota Cawangan Eksport, Bahagian Perkastaman Zon Tengah, Unit III (LTAKL) JKDM menahan sebuah lori “bonded” di bahagian belakang Pintu 9 Eksport, kargo KLIA dan menemui 67.098 kilogram (kg) dadah yang disorokkan dalam empat buah bungkusan daripada 24 bungkusan yang diperiksa.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM Wong Pun Sian dalam satu kenyataan hari ini berkata dadah yang ditemukan seberat 41.8407 kg adalah disyaki jenis methamphetamine dan 25.2573 kg dadah pula disyaki jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, dianggarkan seramai 336,000 orang penagih dadah dapat diselamatkan,” katanya.

Wong berkata siasatan awal mendapati parcel berkenaan akan dihantar ke alamat penerima di Sabah.

“Maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan cara menyembunyikan bahan dadah berbahaya di dalam kotak dan dimasukkan ke dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Beliau menyeru orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Penyaluran maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM iaitu 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.

-BERNAMA


Pengarang :