Mohd Shafiq Idrus, 38, bersama isteri Siti Nasiha Sakinah Md Saied, 33, dan anak mereka, Sufi Syafrina Mohd Shafiq, 7 bulan, yang menghidap penyakit spinal muscular artrophy (saraf genetik) ketika kunjungan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Jalan Sungai Kantan, Kajang pada 24 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keluarga bayi hidap penyakit genetik syukur terima alat bantuan pernafasan

HULU LANGAT, 24 OGOS: Bapa bayi berusia tujuh bulan penghidap penyakit genetik jarang jumpa, Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1 terharu menerima sumbangan alat bantuan pernafasan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini.

Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata anaknya Sufi Syafrina bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan setiap masa namun beliau hanya mampu menyewa peralatan itu dengan harga RM500 sebulan kerana tidak mampu membelinya.

“Terima kasih kepada pembayar zakat. Anak saya mendapat faedah daripada LZS ini atas keprihatinan anda semua.

“Kini dengan bantuan ini kami sudah tidak perlu menyewa lagi alat ini dan kos yang digunakan itu boleh disalurkan kepada keperluan perubatan pula,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Ahmad Fadhil Hassan (kiri) menyerahkan cek cura kepada Mohd Shafiq Idrus, 38, (dua, kiri) untuk kegunaan anaknya Sufi Syafrina Mohd Shafiq, 7 bulan, yang menghidap penyakit spinal muscular artrophy (saraf genetik) ketika penyerahan mesin oksigen BiPAP oleh LZS di Jalan Sungai Kantan, Kajang pada 24 Ogos 2023. Hadir sama Orang Besar Daerah Hulu Langat Dato’ Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Dato’ Rosli Othman (dua kanan) dan Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Husof (kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Majlis penyerahan alat bantuan pernafasan bernilai RM29,500 disempurnakan Ketua Pegawai Operasi LZS Ahmad Fadhil Hassan. Turut hadir Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Md Yusmizan Yusof.

Mohd Shafiq turut merayu bantuan rakyat Malaysia untuk menyumbang dana bagi pembiayaan rawatan suntikan jenis Zolgensma bernilai RM9.28 juta untuk kesan pulih seumur hidup anaknya.

“Kini jumlah terkumpul kira-kira RM160,000 dan masih jauh daripada nilai diperlukan namun jika ada rezeki anak saya tidak mustahil ia dapat dikumpulkan.

“Saranan lain yang doktor berikan adalah mendapatkan suntikan jenis Spinraza yang bernilai RM2 juta untuk kira-kira 10 suntikan. Jadi jika dapat kumpul untuk jumlah RM2 juta pun saya cukup bersyukur,” katanya.

Sementara itu Md Yusmizan berkata selain sumbangan alat bantuan pernafasan, pihaknya turut berbincang dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Tunku Azizah untuk penilaian bantuan perubatan.

“Bayi ini memerlukan ubat khas iaitu Risdiplam dengan kos kira-kira RM40,000 sebulan,” katanya.


Pengarang :