Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada program Temu Anwar Bicara Pendidikan MADANI di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada 5 Ogos 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Kerajaan ingin perkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin

KEPALA BATAS, 5 OGOS: Kerajaan berhasrat memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

“Jadi, kita ada sekolah yang memberi ruang kepada anak-anak yang miskin khususnya yang paling miskin serta keputusan (akademik) yang tidak memuaskan. Kita beri mereka peluang untuk belajar,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar Bicara Pendidikan MADANI di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada program Temu Anwar Bicara Pendidikan MADANI di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada 5 Ogos 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata peluang pendidikan perlu diberikan secara saksama supaya tiada mana-mana golongan tercicir daripada pendemokrasian mutu pendidikan yang memberikan hak pendidikan kepada semua orang.

Perdana Menteri berkata ketika ini, masih terdapat kesenjangan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar seperti di Manik Urai, Kelantan serta Kapit, Sarawak.

Mengakui pendidikan antara cara untuk membawa keluar seseorang daripada belenggu kemiskinan, Anwar berkata ia penting dalam usaha meningkatkan mobiliti sosial yang menurut beliau adalah ‘penghijrahan’ bagi golongan miskin.

Justeru, beliau berhasrat untuk membawa perubahan dalam sektor pendidikan Malaysia bagi mempertingkat mutu pendidikan negara.

“Untuk menjayakan perkara ini, kita perlu kerjasama penuh daripada pelajar dan guru serta komitmen pelajar yang harus cemerlang dalam pelajaran mereka,” katanya.

Menjelaskan kepentingan pendidikan bagi sesebuah negara, Anwar berkata anak muda perlu menguasai pembelajaran dan menghidupkan amalan membaca yang semakin pudar dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata sehubungan itu, Belanjawan MADANI memperuntuk perbelanjaan yang besar bagi sektor pendidikan kerana percaya negara lebih maju melalui penguasaan pendidikan oleh rakyatnya.

— BERNAMA

 


Pengarang :