Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kompleks Sukan Klang Utara bernilai RM40 juta mercu tanda baharu Klang

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 24 OGOS: Klang bakal mempunyai satu lagi mercu tanda baharu apabila Kompleks Sukan Klang Utara di Bandar Bukit Raja dianggarkan bernilai RM40 juta siap dibina antara tiga hingga lima tahun lagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata pembinaan kompleks itu antara projek berimpak tinggi yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Klang.

“Kompleks ini menyerupai Kompleks Sukan Pandamaran dan Stadium Kota Raja.

“Pembinaan kompleks ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mengambil masa paling cepat tiga tahun untuk disempurnakan,” kata Noraini Roslan.

Pembinaan kompleks itu juga antara yang diutarakan pada Sesi Penglibatan Awam Dalam Penyediaan Bajet 2024 MPK di KSL Esplanade Hotel, Klang Ahad lalu.

Selain itu Noraini berkata pihaknya juga merancang melakukan pembaikan dan menyelenggara kapal Bugis di Tanjung Harapan melibatkan kos RM3 juta.

Kapal Bugis menjadi mercu tanda pantai Tanjung Harapan dan MPK sentiasa memulihara kapal itu yang merupakan tarikan pelancongan di kawasan berkenaan.

Projek berimpak tinggi itu juga untuk meningkatkan imej Klang yang bakal dinaik taraf sebagai bandar raya tidak lama lagi.


Pengarang :