Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) pada program Santai Ngopi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 7 Ogos 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

KPKT pulih tiga projek ‘sakit’ Sungai Kandis, siap tahun depan

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

KLANG, 8 OGOS: Peruntukan tambahan RM20 juta disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memulihkan projek terbengkalai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Timbalan menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha itu termasuk tiga projek pembinaan perumahan di Taman Muhammad 4, Taman Maya dan Anggerik Kencana yang dijangka siap tahun depan.

“Di peringkat kementerian kita meneliti projek-projek yang sudah lama terbengkalai dan hampir siap iaitu di antara lima hingga 10 peratus melibatkan rumah mampu milik.

“Selagi projek tidak menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), maka rumah itu dianggap tidak siap dan tidak ada nilai untuk dijual atau sebagainya,” katanya pada program Santai Ngopi semalam.

Sebelum ini, menteri KPKT menyatakan pihaknya komited menyelesaikan projek sakit di seluruh negara dengan 118 projek perumahan swasta dipulihkan setakat 30 April lepas.

Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, 100 projek berjaya dipulihkan dan menerima CCC manakala 18 lagi dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan.


Pengarang :