Calon Kuang Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican mengadakan walkabout di pasar tani Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 6 Ogos 2023. Foto Twitter Hasnal Rezua
SELANGOR

Hasnal Rezua mahu wujud program usahawan tani di Kuang

SHAH ALAM, 8 OGOS: Mewujudkan program usahawan tani kepada penduduk Kuang antara janji Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican sekiranya mendapat mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

Bagi memenuhi hasrat itu, calon Barisan Nasional (BN) akan mencari jalan penyelesaian mendapatkan tanah rizab kerajaan yang tidak digunakan supaya usahawan tani boleh mengusahakan tanaman.

“Di Kuang banyak tanah rizab kerajaan, kadang-kadang ada tanah yang digazetkan untuk Tenaga Nasional Berhad dan rel kereta api, namun tidak digunakan.

“Sasaran saya untuk melihat semula bagaimana mahu kembalikan tanah itu kepada kerajaan, sama ada bagi lesen pendudukan sementara (TOL) atau pajakan bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan menjalankan aktiviti pertanian dan meraih hasil,” katanya kepada Selangorkini.

Ketua Umno Bahagian Selayang juga mahu menggandingkan usahawan tani dengan pengusaha produk dalam projek penanaman bagi memastikan keterjaminan bekalan.

“Misalnya penanaman cili dan ubi, kita mahu gandingkan dengan pengusaha yang memerlukan produk berkaitan seperti sos serta kerepek,” katanya.

Agenda lain turut menjadi tumpuan Hasnal Rezua ialah bercadang memberi nilai tambah terhadap Jualan Ehsan Rahmah (JER) di kawasan Selayang dengan melibatkan penyertaan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (Fama) sebagai pembekal produk sampingan seperti kicap, sos, kuah rojak dan sardin..

“Di samping enam barangan asas dibawa Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kita cadang untuk libatkan Fama untuk jual barangan pada harga subsidi,” katanya.

Hasnal Rezua Sallehudin akan berdepan penyandang Sallehuddin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Perikatan Nasional) pada PRN kali ini.

Hari mengundi bagi PRN Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 12 Ogos.


Pengarang :