Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 27 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KRT Klang Perdana antara tiga lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 15 OGOS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah diteruskan di tiga lagi lokasi esok, bermula jam 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi Facebook memaklumkan jualan diadakan di Tapak Pasar Malam Kampung Delek Kiri, Klang, KRT Klang Perdana dan Pusat Khidmat Ahli Majlis MPP Zon 1 MBSA Jalan Durian 4/1.

Jualan murah yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Barangan asas dijual termasuk ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan linktr.ee/myPKPS.

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.


Pengarang :