AGENDAJENAYAH

Lelaki maut lapan kesan tembakan selepas makan bersama rakan di kebun

SIBU, 1 OGOS: Lelaki berusia 46 tahun maut dengan lapan kesan tembakan, selepas satu serangan di kebun di Kilometer 14.5 Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, 11.30 malam Isnin.

Serangan berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya, masing-masing berusia 36, dan 46, tahun hendak beredar dari kebun tersebut, setelah selesai makan bersama di situ.

“Ketika rakan si mati sedang mengunci pagar, seorang lelaki dikatakan turun menyusuri bukit lalu melepaskan beberapa das tembakan,” kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua rakan mangsa, lari menyelamatkan diri ke arah belukar di lereng bukit di situ dan apabila keluar selepas setengah jam kemudian, mereka mendapati mangsa rebah di tempat kejadian, sebelum membawanya ke Hospital Sibu.

Zulkipli berkenaan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian pada 1.23 pagi hari ini dan siasatan awal mendapati  mangsa telah disahkan identiti oleh keluarganya, mempunyai lapan kesan tembakan pada badan.

Seorang daripada rakan mangsa cedera muka ketika menyelamatkan diri, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika siasatan di lokasi polis menemui kelongsong peluru yang digunakan, namun beliau enggan mendedahkan jenis senjata api yang digunakan penyerang tersebut, dan dipercayai lebih dari seorang penyerang terlibat dalam kejadian itu.

Ditanya sama ada si mati seorang ketua geng penjenayah yang dikehendaki polis, Zulkipli berkata perkara itu masih dalam siasatan dan menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi, serta memberi ruang kepada polis membuat siasatan.

Beliau mengesahkan si mati yang ditembak dari jarak dekat, mempunyai tiga rekod jenayah lampau yang antaranya dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan datang ke kebun milik keluarganya, untuk makan bersama dua rakannya itu.

Bedah siasat ke atas si mati akan dijalankan esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA


Pengarang :