Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas membentangkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lima tekad untuk lima tahun, tawaran menarik buat warga Selangor

Tawaran yang menarik ini sukar untuk ditolak. Tawaran ini meneruskan program pembangunan dan kesejahteraan yang sedang berjalan. Tawaran ini memberi beberapa lagi kelebihan kepada semua kita di Selangor.

Sebagai pentadbir Kerajaan Negeri, gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) menawar program ini untuk mendapat mandat baharu.

Berbeza dengan pembangkang yang boleh berjanji apa sahaja tanpa perlu tanggungjawab pelaksanaan, kerajaan HARAPAN-BN boleh terus melaksanakan tawaran yang sudah sebati dengan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Daripada 46 jenis bantuan Iltizam Selangor Penyayang (ISP), tawaran ini menambah 12 lagi usaha kebajikan, menjadikan 60 program. Semua golongan mendapat manfaat daripada tawaran ini.

Anak muda, pelajar, wanita, pentadbir masjid, petani, peniaga, ahli sukan, pembeli rumah pertama dan pengguna pengangkutan awam boleh mengambil manfaat daripada manifesto Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun.

Manifesto ini dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Shah Alam pada 31 Julai sebagai sebahagian usaha gabungan tersebut mendekati pengundi yang bakal membuat keputusan pada 12 Ogos.

Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Mujibu Abd Muis. Foto Facebook Mujibu Abd Muis

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara Mujibu Abd Muis berkata tawaran ini diyakini mampu dijayakan dalam tempoh satu penggal akan datang, lapor Berita Harian pada 1 Ogos.

“Kalau melihat rekod pencapaian yang ada ini, saya tidak nampak ia mustahil direalisasikan. Rekod terdahulu, Kerajaan Selangor antara (negeri) yang cemerlang,” katanya.

Kehendak semasa rakyat

Penganalisis politik Institut Darul Ehsan Khairul Ariffin Mohd Munir pula melihat tawaran HARAPAN-BN ini menyeluruh dan bertepatan kehendak semasa rakyat.

Penganalisis politik Institut Darul Ehsan Khairul Ariffin Mohd Munir. Foto Facebook Khairul Ariffin

“Berdasarkan tinjauan IDE, kami mendapati rakyat Selangor amat prihatin dan bimbang akan isu ekonomi, kos sara hidup dan harga barang, manakala anak muda pula terkait dengan peluang pekerjaan lebih luas.

“Maka, tawaran berkenaan nampaknya menjurus kepada yang dihasratkan rakyat kini. Tawaran itu dikemukakan secara menyeluruh, merangkumi sebahagian besar ekosistem masyarakat yang memerlukan.

“Berdasarkan rekod pencapaian kerajaan HARAPAN Selangor dan menteri besar (Amirudin) hingga hari ini, wujud usaha berterusan untuk membantu terkait dengan kos sara hidup,” katanya seperti dilapor portal itu.

Tawaran tersebut tidak mengabaikan kemajuan Islam. Elaun pentadbir masjid dinaikkan hingga RM1,600 sebulan. Wanita bekerja menikmati bantuan RM1,000 setahun apabila menghantar anak ke pusat asuhan.

Selain baucar buku RM200, mahasiswa mendapat elaun latihan industri RM1,500 sebulan. Pelajar tahfiz dan sekolah agama rakyat pula boleh memohon biasiswa untuk pengajian Islam.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sekarang 65,000 pelajar mendapat didikan percuma dan makan tengah hari dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Tawaran ini mahu meluaskan manfaat PTRS kepada 200,000 orang pelajar.

Untuk anak muda, liga e-sukan dianjurkan dan pusat e-sukan akan dibina di setiap daerah. Peluang mendapat pendidikan vokasional dan teknikal dibuka kepada 10,000 orang. Kelas bahasa percuma juga disediakan.

Untuk kemajuan sukan, HARAPAN-BN menawarkan akademi latihan ke arah menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA), Piala Malaysia dan Liga Super menjelang 2025. Ia juga bercita-cita menjuarai liga bola sepak benua Piala AFC pada 2027.

Tawar 200,000 rumah

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani EXCO Perumahan Rodziah Ismail melihat replika rumah contoh Idaman Cahaya sempena majlis pecah tanah Rumah Idaman Cahaya di Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam pada 28 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Untuk mereka yang sedang mencari rumah, HARAPAN-BN menawarkan 200,000 unit berharga bawah RM250,000 dengan bantuan pembiayaan kewangan. Sebanyak 10,000 unit rumah khas untuk penjawat awam.

Pusat rekreasi juga akan dibina di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Selain itu, tiga lagi pusat perbandaran akan dibangunkan di Sabak Bernam, pinggiran Sungai Klang dan Sepang.

Bantuan RM1,000 untuk petani dan pesawah bagi membeli benih dan input pertanian. Bagi menggalakan jaringan luar bandar, RM100 juta disediakan untuk meningkatkan kemudahan jalan.

Jaringan landasan kereta api akan menghubungkan Klang ke Sabak Bernam di utara. Untuk kawasan selatan, jaringan ini menghubungkan lapangan terbang KLIA ke daerah pinggir pantai di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan Sungai Pelek, Sepang.

Pendek kata, banyaklah manfaat untuk seluruh rakyat dalam manifesto Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun daripada HARAPAN-BN, gabungan yang menganjurkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran.

 


Pengarang :