Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan kepada seorang wanita di Gombak pada 11 Ogos 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS bantu wanita sarat mengandung lima bulan ditinggal suami

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 18 OGOS: Keperitan hidup seorang wanita sedang hamil yang ditinggal suami sejak lima bulan lalu mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS berkata pihaknya menerima aduan berhubung nasib wanita itu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kami menerima aduan daripada NGO berkaitan seorang isteri yang ditinggalkan suami, wanita tersebut tidak bekerja kerana sarat mengandung dan bakal melahirkan anak kedua pada akhir Ogos ini.

“Suaminya telah lima bulan menghilangkan diri tanpa khabar berita, keluarga lelaki juga tidak dapat dihubungi,” kata LZS menerusi Facebook pada 11 Ogos lalu.

Menurut agensi itu lagi, wanita tersebut memaklumkan ditinggal tanpa sebarang kewangan menyebabkan sewa rumah telah tertunggak hampir empat bulan.

Jelas LSZ, pihaknya membuat bancian asnaf serta merta dan hasil kiraan had kifayah mendapati wanita tersebut layak dikategori sebagai asnaf Fakir.

“Sumbangan tunai diserahkan bagi menampung keperluan hariannya, sementara menunggu bantuan asasi yang lain yang akan dibantu kelak,” katanya lagi.


Pengarang :