Dadah bernilai RM5.78 juta yang dirampas polis dalam operasi pada 15 dan 16 Ogos 2023 di Pulau Pinang. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Makmal proses heroin diserbu, dadah bernilai RM5.78 juta dirampas

GEORGETOWN, 18 OGOS: Polis membongkar makmal memproses dadah dan menahan dua lelaki tempatan bersama pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM5.78 juta dalam siri serbuan di Pulau Pinang pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata sepasukan polis JSJN Pulau Pinang melancarkan operasi sebelum berjaya menahan lelaki pertama berumur 46 tahun di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, pada 4 petang Selasa.

“Pihak polis pada mulanya mengekori kenderaan dipandu lelaki itu sebelum menahannya di kawasan lebuh raya terbabit dan hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang dadah bersama suspek, susulan penahanan, kita menyerbu kawasan tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Alma, Bukit Mertajam dekat sini pada 8 malam hari sama.

“Di situ, polis menahan seorang lagi lelaki berumur 42 tahun dan susulan penahanan dua suspek terbabit, kami menyerbu sebuah kondominium mewah di Tanjung Tokong, di sini serta berjaya membongkar makmal memproses dadah jenis heroin di situ. Tiada suspek ditahan di rumah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas heroin base 65.38 kilogram (kg), heroin (13.62 kg) dan serbuk kafein seberat 8.48 kg serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah bernilai RM5.78 juta.

Mohd Kamarudin berkata berdasarkan siasatan awal, sindiket itu mendapatkan bekalan heroin base dari Thailand dan diseludup masuk melalui jalan darat sebelum mereka memproses heroin di kondominium terbabit untuk pasaran tempatan di sini.

Katanya, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan siasatan polis mendapati mereka berpindah-randah dari satu tempat ke lokasi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan siasatan polis juga lelaki kedua yang ditahan itu mempunyai kepakaran untuk memproses heroin dan mereka menyewa di kondominium itu sejak tahun lalu untuk menjalankan kegiatan haram terbabit,” katanya.

Beliau berkata semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan 4.47 juta penagih dan polis giat mengesan rangkaian sindiket berkenaan yang dipercayai masih berada di sekitar negeri itu.

Menurutnya, berikutan penahanan dua lelaki yang tidak bekerja itu, polis turut menyita kereta Toyota Estima bernilai RM70,000 dan kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 23 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dua lelaki itu negatif dadah dan tiada rekod lampau, hasil operasi terbabit JSJN berjaya membongkar makmal memproses heroin dan sindiket penyeludupan heroin base dari Thailand ke Malaysia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :