Calon Sungai Ramal Mazwan Johar bergambar dengan jemaah selepas selesai solat Jumaat di masjid Bandar Teknologi Kajang pada 11 Ogos 2023. Foto Team Media Mazwan Johar
ADNSELANGOR

Masjid Bandar Teknologi Kajang siap dibina, mampu tampung 4,000 jemaah

KAJANG, 11 OGOS: Umat Islam sekitar Bandar Teknologi Kajang di sini, kini boleh menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang.

Calon Sungai Ramal Mazwan Johar berkata masjid yang mula dibina sejak 2019 dengan kos RM12 juta itu mampu menampung 4,000 jemaah dalam satu-satu masa.

“Alhamdulillah, hari ini buat pertama kali kita dapat menunaikan solat Jumaat di masjid ini. Pembinaan masjid ini antara janji saya kepada  penduduk Bandar Teknologi Kajang.

“Ini bukti kita (Kerajaan) mengotakan apa yang kita janji iaitu untuk berkhidmat dan membantu rakyat. Ini bukti kita adalah kerajaan yang buat kerja,” katanya kepada Selangorkini.

Mazwan yang juga penyandang kerusi berkenaan sebelum ini berkata beliau mengusahakan pencarian tapak kawasan masjid itu sehingga pembinaan mula dilaksana hujung 2019 dan dijangka siap hujung 2021 tetapi tergendala akibat pandemik Covid-19.

Masjid berkenaan dibina atas tanah seluas tiga hektar lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk kegunaan penduduk.

Mazwan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) berdepan calon Perikatan Nasional Mohd Shafie Ngah dalam pilihan raya negeri kali ini.


Pengarang :