Petugas pusat mengundi melakukan persiapan akhir penyediaan peti undi untuk hari pengundian esok sempena Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor N.55 Dengkil di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Cyberjaya, Putrajaya pada 11 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR giat laksana persiapan akhir, pastikan PRN lancar

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kesemua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di enam negeri giat melaksanakan kerja-kerja akhir bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Tinjauan Bernama di Selangor, di Pusat Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia dan Pusat Pengumpulan Undi di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Shah Alam mendapati petugas-petugas SPR telah siap melaksanakan persiapan.

Penyelia Pusat Pengundian Gombak Setia di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Samudera Mohamed Nizam Md Saad berkata kerja-kerja menyiapkan tempat pengundian selesai lebih awal daripada jadual yang ditetapkan SPR.

“Meskipun persiapan ini dilakukan pada waktu persekolahan, namun tiada masalah bagi pihak sekolah untuk membenarkan kami berbuat demikian. Saluran satu hingga empat menggunakan dewan sekolah, manakala saluran lima hingga sembilan di bangunan sekolah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid merangkap Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kota Anggerik berkata, sebanyak 1,422 petugas akan bertugas di 21 pusat mengundi esok.

Pada masa sama, beliau turut menasihati pengundi untuk keluar lebih awal bagi melaksanakan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan kesesakan selain ramalan cuaca esok yang menjangkakan hujan pada sebelah petang.

Di Negeri Sembilan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sikamat Saiful Saadon berkata persediaan menjelang hari pengundian esok mencapai tahap 100 peratus dan mengikut jadual ditetapkan.

Seramai 55 ketua tempat mengundi ditempatkan bagi menjaga saluran, hadir sejak 7 pagi tadi untuk menyemak beg undi serta peralatan lain berkaitan bagi kelancaran proses pengundian esok di DUN Sikamat.

“Pengundi diingatkan bersiap sedia dengan kad pengenalan masing-masing dan semak saluran anda,” katanya serta menggalakkan pengundi untuk memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Di Terengganu, Penyelia Pusat Mengundi SK Tok Jembal Azri Mohd Yasin berkata persiapan akhir oleh pihaknya giat dilakukan termasuk menyusun atur saluran serta kelengkapan mengundi, menyediakan petak undi serta memasang garisan SPR.

“Di SK Tok Jembal ada lapan saluran mengundi melibatkan lebih 4,000 pengundi. Kita jangka semua kerja termasuk meletakkan tanda arah, informasi dan memasang garisan akan selesai sebelum 6 petang,” katanya.

Sementara itu di Kedah, Pegawai Pengurus DUN Suka Menanti Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata semua persiapan di 13 pusat mengundi telah dilakukan sejak semalam dan hanya menunggu kehadiran pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Di Pulau Pinang, jurucakap SPR Pulau Pinang berkata hampir 20,000 petugas ditempatkan di pusat mengundi di negeri itu yang diketuai 40 Pegawai Pengurus SPR bagi setiap DUN.

Katanya, terdapat 28 pusat penjumlahan undi di Pulau Pinang dan semua kertas undi yang telah siap dikira di pusat mengundi akan dibawa ke situ esok.

Tinjauan Bernama di SK Padang Garong, Kota Bharu, Kelantan pula mendapati dua khemah dilengkapi penyaman udara akan dijadikan tempat pengundian bagi menggantikan dua bilik darjah yang rosak akibat ribut, Sabtu lepas.

Pegawai Pengurus DUN Kota Lama Izuddin Abd Rashid berkata sebanyak 6,829 pemilih bagi dua daerah mengundi iaitu Padang Garong dan Kampung Dusun dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di sekolah tersebut membabitkan 13 saluran mengundi.

– BERNAMA


Pengarang :