Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan pentadbiran negeri dan EXCO melaungkan ‘Merdeka’ pada sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bersatu padu hadapi cabaran, raih peluang kuasai ekonomi

SHAH ALAM, 31 OGOS: Negara mampu berdepan pelbagai dugaan termasuk cabaran sektor ekonomi sekiranya rakyat mengamalkan kesepakatan dan hidup bersatu padu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini semua negara cuba bersaing bagi menguasai ekonomi dan pelaburan serantau.

“Kalau lihat negara jiran dan serantau, mereka sedang memilih dan cari peluang supaya dapat kuasai ekonomi, kalau tidak pun landasan tanah.

“Hanya perpaduan di kalangan rakyat dapat mengukuhkan kita. Sempena berakhirnya pilihan raya negeri, ini masa kita bersatu sebab cabaran luar sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Kebangsaan ke-66 malam tadi.

Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 bertemakan Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dekat sini, Amirudin berkata rakyat juga perlu menolak fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab bagi memastikan negara terus kukuh.

Beliau turut meminta rakyat menjadikan kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai contoh betapa buruknya kesan fitnah.

“Negara dan negeri menjadi punah dan ranap sebab fitnah. Marilah kita bersatu padu menolak fitnah yang bertebaran.

“Kita bawa kebenaran dan lahirkan masyarakat beradab, hormat agama Islam, pimpinan, raja berpelembagaan dan rukun negara. Rukun ini jadi paksi bawa perpaduan,” katanya.

Pertunjukan bunga api ketika sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau memberi jaminan pentadbiran sedia ada akan meneruskan keharmonian selain menggembleng kemajuan dan ekonomi demi rakyat.

“Kita bawa perpaduan kepada rakyat dari Sabak ke Sepang, Rawang.. Hulu Selangor ke Petaling. Semua akan jadi warga Selangor kerana Kita Selangor,” katanya.


Pengarang :