Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media khas sempena mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang pertama di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 23 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Nama hanya prapendaftaran, elak masa panjang sertai skim insurans

SHAH ALAM, 23 OGOS: Nama yang tertera dalam sistem Skim Insurans Am Selangor (INSAN) hanya prapendaftaran, jelas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata proses menggunakan data awam itu bertujuan mengelak pendaftaran satu demi satu yang mengambil masa panjang sebelum polisi tersebut diserah kepada penerima.

“Sebab itu, bagi mereka yang telah dapat prapendaftaran, mereka perlu mengesahkan dengan swafoto dan kad pengenalan masing-masing untuk mengesahkan pendaftaran,” katanya.

Amirudin menjawab kekeliruan dalam media sosial berikutan orang ramai mendapati nama mereka ada dalam sistem skim berkenaan sekalipun tidak mendaftar.

Beliau menambah pihaknya juga akan mengetatkan kawalan jika ada sebarang pelanggaran manakala orang ramai pula boleh membuat pilihan untuk menerima skim itu atau sebaliknya.

“Kita akan mantapkan kawalan terutama jika berlaku pelanggaran. Tapi apa yang berlaku adalah prapendaftaran. Kalau tak nak, tak payah ambil polisi (itu),” katanya.

Diperkenal tahun lalu, INSAN ditawarkan kepada penduduk berusia antara 30 hari hingga 80 tahun dengan premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Skim yang menyasar enam juta rakyat memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Awal bulan ini, INSAN ditambah baik dengan menawarkan Skim INSAN Takaful yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 manakala waris sebanyak RM1,000 jika berlaku kematian.

 


Pengarang :