Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Negeri sedia RM583 juta, jumlah terbesar majukan Islam (VIDEO)

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Selangor menyediakan dana berjumlah RM583 juta untuk pembangunan Islam pada tahun ini, jumlah terbesar berbanding 2017.

Menjawab satu tuduhan melalui video, Dato’ Menteri Besar menegaskan tuduhan dilemparkan Perikatan Nasional (PN) dikitar semula daripada kempen pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Sebenarnya, ini adalah tuduhan kitar semula yang telah mereka (PN) gunakan dalam PRU lalu. Biar saya jelaskan tetapi jangan terciduk ataupun koyak.

“(RM583 juta) ini adalah peruntukan paling tinggi dalam sejarah yang disediakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN). Lebih tinggi dari zaman (Dato’ Seri) Azmin Ali (mantan menteri besar),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Perbelanjaan untuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) antara RM300 juta hingga RM350 juta setahun, tetapi jumlah itu akan meningkat apabila ada keperluan khas membangunkan masjid atau sekolah agama.

Dalam penjelasan di media sosial itu, Amirudin menjelaskan peningkatan besar tersebut antaranya untuk masjid, sekolah agama dan elaun khas guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Menjawab tohmahan peruntukan tidak dibelanjakan, beliau menegaskan dana untuk Jais pada 2021 tidak dapat dihabiskan berikutan sekatan pergerakan seperti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021.

“Masjid, sekolah agama dan banyak institusi lain tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Perbelanjaan berkurang disebabkan operasi tidak dapat berjalan,” katanya.

Menurut LKAN mengenai penyata kewangan Kerajaan Selangor tahun itu, banyak projek agensi Kerajaan Negeri termasuk Jais tidak dapat diteruskan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, penyebar tohmahan itu tidak menyatakan dengan lengkap penjelasan dalam LKAN berhubung alasan sebenar mengapa perbelanjaan tersebut tidak dapat dihabiskan.

Amirudin kemudiannya menggesa pengundi memberi sokongan kepada gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 12 Ogos ini.

“Jadi kena faham beza peruntukan dan perbelanjaan. Jangan koyak, jangan terciduk. Terima kasih. Undi HARAPAN, undi BN, pertahankan Selangor,” katanya.


Pengarang :