Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di hadapan ratusan pengunjung dalam Festival Arus Merah Kuning di Uptown Sri Gombak pada 8 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: PN lebih ghairah tukar kerajaan persekutuan banding pulih ekonomi

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 9 OGOS: Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih gemar bermain naratif untuk menukar kerajaan persekutuan berbanding memulihkan ekonomi jika menang pilihan raya di enam negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata pendekatan itu berbeza dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menumpukan usaha menyelamatkan negara selepas berdepan pelbagai krisis terutama pandemik Covid-19.

“Lawan kita PN bukan sibuk hendak selamatkan negara, pulih ekonomi atau jadikan negeri bertambah baik selepas pandemik, yang mereka fikir menang di Selangor nak jatuhkan kerajaan persekutuan.

“Isu penting sekarang pulihkan ekonomi, rakyat kena bersatu-padu dan bersama-sama kita. Bukan tukar perdana menteri, tukar kerajaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ceramah malam tadi.

Pengerusi HARAPAN negeri berkata Selangor berperanan penting untuk memulihkan semula ekonomi negara berikutan menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

Malah, jelasnya, Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun yang diumumkan pada 31 Julai turut menekankan 19 usaha pentadbiran negeri bagi program ekonomi.

“Kita ada tawaran, ada pelan, pengalaman, rekod baik dan semangat untuk satukan rakyat,” katanya yang berdepan saingan tiga penjuru di kerusi Sungai Tua dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos.

Sebelum ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mendakwa kerajaan persekutuan akan bertukar jika PN menang besar dalam PRN di enam negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lanjut bagaimana pertukaran itu boleh berlaku.

 


Pengarang :