Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB sanggah fitnah pembangkang guna angka palsu kos bina stadium

SHAH ALAM, 5 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyanggah fitnah Perikatan Nasional yang melempar tuduhan palsu dalam isu pembangunan semula Stadium Shah Alam.

Katanya, angka RM3.2 bilion yang dirujuk pembangkang sebagai kos membangunkan semula stadium itu sebenarnya merujuk cadangan pemaju membangunkan keseluruhan 70 ekar kawasan sekeliling.

“Mereka mengatakan kos pembinaan stadium mencecah RM3.2 bilion berdasarkan satu tangkap layar. Ini adalah salah!

“Kos pembinaan stadium baharu masih kekal antara RM800-900 juta seperti yang saya umumkan pada tahun 2022.

“Perikatan Nasional tidak langsung menfokuskan kepada isu polisi dan dasar sebaliknya hanya hidup bergelumang fitnah,” katanya menerusi Twitter pada 4 Ogos.

Baru-baru ini, pembangkang menerusi media sosial mempertikai kos pembangunan semula kompleks sukan tersebut bagi meraih sokongan orang ramai dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) meliputi stadium dijalankan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) tanpa menggunakan dana negeri sebaliknya bersifat perkongsian awam-swasta.

Kompleks di tanah seluas lebih 80 hektar bakal meliputi pelbagai kemudahan untuk orang awam berekreasi selain mengadakan kegiatan komersial antaranya:

■ 40 peratus kawasan rekreasi awam, 60 peratus untuk sukan
■ ada gelanggang indoor, dewan serba guna, hotel, masjid, ruang acara dan ruang jualan
■ sedia ruang sewa bagi biayai kos selenggara

Ciri-ciri lain kompleks itu seperti berikut:

■ stadium bertaraf antarabangsa
■ kapasiti 35,000 ke 45,000 penonton
■ ambil kira penyuraian aliran trafik
■ hubung pengangkutan awam seperti LRT
■ atasi kemungkinan banjir
■ boleh berfungsi kendali pelbagai acara, termasuk konsert


Pengarang :