Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap ketika merasmikan Hari Terbuka MITI di Dewan Raja MUda Musa, Shah Alam pada 5 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Sumbangan Selangor penting teruskan momentum eksport negara

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pencapaian ekonomi yang memberangsangkan setiap tahun menjadikan Selangor penting untuk meneruskan momentum eksport negara, kata menteri pelaburan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negeri itu juga membangun sebagai hab pembuatan merentasi pelbagai industri antaranya automotif dan logistik sejak 50 tahun lalu.

“Hasilnya, terbina ekosistem rantaian nilai yang matang, sekali gus membantu pertumbuhan banyak syarikat tempatan termasuk perindustrian kecil sederhana,” katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau memaklumkan jumlah perdagadangan di Selangor meningkat 14.2 peratus kepada RM806.3 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding RM706.02 bilion tahun lalu.

Menurut Tengku Zafrul, eksport juga meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM360.04 bilion pada separuh pertama 2023 daripada RM330.1 bilion pada 2022.

“Pelaburan dan perdagangan berperanan penting menjana pertumbuhan ekonomi. Selangor menunjukkan prestasi tinggi dengan momentum (meningkat) berterusan dari 2021 hingga Jun 2023,” katanya.


Pengarang :