BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK kesan 46,994 akaun komersial, rumah gagal lunas cukai taksiran

SHAH ALAM, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengesan 46,994 akaun komersial dan kediaman yang gagal melunaskan cukai taksiran dalam tempoh ditetapkan.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata mereka yang gagal berbuat demikian bakal berdepan hukuman tegas antaranya premis disita atau dikenakan tindakan perundangan.

“MPK juga sedang mempergiat kutipan cukai termasuk mewujudkan semula pasukan khas bagi memastikan pemilik cakna untuk menjelaskan tunggakan,” katanya dalam mesyuarat bulanan hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sejumlah RM654,563 cukai taksiran dikutip pihak berkuasa tempatan berkenaan setakat Ogos lalu termasuk tunggakan daripada 1,093 pemilik.

Sementara itu, MPK mempelawa mana-mana peniaga untuk memohon tiga kategori tapak bazar Deepavali secara dalam talian yang dibuka antara 23 Ogos hingga 17 September.

Menurut Noraini, kategori itu meliputi pekedai dan peniaga 3P di Lorong Tingkat, pemberian tapak siapa cepat dia dapat (penjualan inai atau belon) dan bidaan (barangan keperluan raya).

“Bazar Deepavali akan dibuka di sekitar Lorong Tingkat (139 petak) dan Jalan Tali Air (11 petak) bermula 29 Oktober hingga 11 November,” katanya yang meminta orang ramai merujuk portal rasmi atau Facebook.

 


Pengarang :