PBTSELANGOR

MPS kutip RM65.31 juta cukai taksiran dalam tempoh tujuh bulan

OLEH AZIAN AZIZ

SELAYANG, 31 OGOS: Sebanyak RM65.31 juta cukai taksiran berjaya dikutip Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Yang Dipertuanya Datuk Mohd Yazid Sairi jumlah itu adalah 57.29 peratus daripada RM114 juta cukai taksiran yang perlu dikutip MPS tahun ini.

“MPS juga telah mengutip 71.55 peratus atau RM8.59 juta tunggakan cukai taksiran daripada RM12 juta jumlah keseluruhan yang perlu dikutip tahun ini,” katanya.

Menurut Mohd Yazid pihaknya telah menghantar 67,0595 bil cukai taksiran kepada pembayar cukai melalui emel dan 36,753 lagi melalui notifikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk penggal kedua tahun ini.

“Kita juga telah menyita harta alih milik 1,534 akaun pembayar cukai yang warannya berjaya diserah bermula 1 Julai lalu,” kata beliau.

Tambah Mohd Yazid MPS juga telah mengutip RM357,748.68 bayaran lesen yang dijelaskan para peniaga melalui 953 transaksi di portal MyMPS sehingga Julai lalu.


Pengarang :