Calon DUN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni turun meninjau jalan yang diturap menerusi Projek Turapan Mega di Kampung Bukit Naga pada 7 Ogos 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Naik taraf lebih 20 jalan di Kampung Bukit Naga, sedia lampu solar

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

KLANG: Lebih 20 jalan sekitar Kampung Bukit Naga dinaik taraf dalam tempoh lima tahun, kata calon Pakatan Harapan Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Penyandang kerusi itu menjelaskan enam laluan lagi selesai diturap minggu lepas iaitu Lorong Syazwan, Lorong Haji Tawil, Lorong Takiah, Lorong Haji Kassim dan Lorong Haji Wahab.

Beliau yang juga EXCO negeri menambah kerja turapan yang dijayakan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel), syarikat lantikan pentadbiran negeri, menelan kos kira-kira RM200,000.

“Kita sentiasa cakna dengan kemudahan asas penduduk. Sebelum ini, keadaan jalan berlubang dan berisiko berlaku nahas,” katanya selepas meninjau Projek Turapan Mega di situ pada 7 Ogos.

Mohd Zawawi berkata pentadbiran negeri juga berusaha untuk menyediakan lampu LED atau lampu solar terutama laluan gelap bagi memastikan keadaan lebih selamat.

Calon DUN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni turun meninjau jalan yang diturap menerusi Projek Turapan Mega di Kampung Bukit Naga pada 7 Ogos 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM/SELANGORKINI

Pada 7 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem aduan kerosakan jalan raya di negeri ini akan diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Cadangan itu tambahan kepada penggunaan Twitter dan aplikasi penyelenggara jalan raya negeri yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Pada 13 Mei, Amirudin turut mengumumkan Selangor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk membaiki jalan kampung seluruh negeri.

Kerajaan Selangor juga mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan kelolaan negeri untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh di Selangor.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.

Semua jalan berlubang itu dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai.


Pengarang :