Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian pusat Smart Desa di Balairaya Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri terima dana tambahan RM2 juta baiki jalan kampung

SABAK BERNAM, 13 MEI: Kerajaan Selangor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menjayakan projek membaiki jalan kampung seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mengumumkan perkara itu berkata majoriti kawasan yang dikenal pasti adalah jalan sekitar Sabak Bernam.

“Saya baharu sahaja mendapat kebenaran daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Peruntukan tambahan RM2 juta untuk baiki jalan-jalan kampung yang ada kaitan dengan kebun dan ladang-ladang negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak ketika majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor turut mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan kelolaan negeri.

Amirudin menggalak orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi aplikasi Twitter dengan menghantar gambar, menulis aduan dan disertakan dengan tanda pagar #infrasel #daerah #namajalan.

Sejak 2021 hingga tahun lalu syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan lebih 39,000 kerja turapan jalan bagi memastikan keselesaan pengguna.


Pengarang :