Calon HARAPAN DUN Bukit Melawati Thiban Subramaniam (kiri) menikmati minum petang bersama bekas calon Umno DUN Jeram Cikgu Zahar Azlan Arifin, Ketua Umno Cawangan Sungai Buloh Jeram Rahim Md Rauf dan beberapa ahli lain di Restoran Kassim Maju, Sasaran Sungai Buloh pada 31 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Nasib veteran ATM, isu setempat jadi fokus dua calon HARAPAN

Oleh NAZLI IBRAHIM & NINA FARZUIN MD SHAROM

KUALA SELANGOR, 1 OGOS: Prihatin terhadap kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati tekad membantu golongan itu meneruskan hidup selepas bersara.

Antara langkah bakal diambil Thiban Subramaniam adalah memastikan pesara berkenaan mendapat peluang berniaga dan menubuhkan koperasi di DUN tersebut.

“Saya akan cadangkan bantu mereka untuk dapat kemudahan berniaga untuk sara hidup selepas bersara.

“Selain itu saya cadangkan kepada kerajaan tubuh koperasi di Kuala Selangor ini dan diberi tapak untuk usahakan sama ada pertanian, perikanan atau melibatkan usahawan untuk ahlinya,” katanya.

Turut menjadi perhatian bekas pegawai tugas khas menteri ekonomi itu adalah kesukaran vateran ATM mendapatkan pengangkutan ke Hospital Sungai Buloh dan Tanjung Karang apabila memerlukan rawatan.

“Saya mahu adakan program menjaga kesihatan mereka kerana cabaran besar di sini kita terpaksa ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang yang dua-dua agak jauh dan bukan semua orang ada kenderaan ke sana,” katanya.

Thiban berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Noorazley Yahya.


Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru Mariam Abdul Rashid bertemu penyokong dan jentera HARAPAN serta Barisan Nasional di luar pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang, pada 29 Julai 2023. Foto Nina Farzuin Md Sharom/SELANGORKINI

Sementara itu, calon HARAPAN DUN Meru tekad membangunkan infrastruktur dan membela nasib penduduk sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) ke-15 pada 12 Ogos nanti.

Berbekalkan pengalaman selama 10 tahun sebagai ahli majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mariam Abdul Rashid, 62, berkata isu sampah dan peniaga asing turut menjadi fokusnya.

“Dengan pengalaman yang ada, saya akan mengusahakan berkaitan infrastruktur kemudahan awam di seluruh kawasan DUN Meru.

“Isu sampah di beberapa kawasan yang melibatkan lorong-lorong kecil yang menjadi punca kutipan sampah tidak dapat dilakukan selain luahan masyarakat mengenai peniaga asing juga akan selesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau yang juga naib pengerusi Amanah Selangor turut memandang serius isu banjir besar dan banjir kilat yang menjadi rungutan penduduk yang terkesan.

“Saya akan menyuarakan dengan tegas ke Dewan Rakyat dan Dewan Negeri bagi memastikan semua projek yang dijanjikan di peringkat persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi projek tebatan banjir di Sungai Kapar Kecil, Sungai Kapar Besar dan Sungai Klang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.02 juta benar-benar dilaksana.

“Saya juga akan menggesa sistem saliran kerap diselenggara di kawasan Meru selain memastikan mangsa bencana mendapat bantuan segera dan secukupnya terutama bantuan asas dan bantuan psikososial,” katanya.

Beliau juga tidak terlepas pandang mengenai isu kebajikan rakyat apabila meletakkan perkara itu sebagai perkara terpenting dalam perjuangannya di Meru.

“Sudah tentu saya akan pastikan kebajikan seluruh rakyat di Meru terutama B40 tidak akan terabai, begitu juga kumpulan rentan yang lain.

“Selain itu, saya juga akan menyusun program-program berkesan dalam membantu dua golongan sasaran iaitu golongam wanita dan juga golongan anak muda,” katanya.

DUN Meru bertembung saingan tiga penjuru melibatkan Mariam, M Sivaranjani (Parti Sosialis Malaysia) dan Hasnizam Adham (PN).

Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :