Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Operasi di lokasi nahas pesawat diteruskan, tumpu usaha kesan baki cebisan mayat

SHAH ALAM, 18 OGOS: Operasi mengesan kemungkinan baki cebisan mayat mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di sini semalam disambung pada 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi berkata operasi hari ini menumpukan kepada proses ‘sweeping’ di lokasi kejadian.

Beliau berkata satu sidang media bagi memperincikan operasi hari ini dijangka diadakan pada 9.30 pagi ini sama ada oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain atau Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Semalam 10 lelaki disahkan maut dalam kejadian itu.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Forensik membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Bernama

Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

— BERNAMA


Pengarang :