Gambar hiasan perbicaraan mahkamah
AGENDAJENAYAH

Peguam mohon tertuduh bunuh kekasih hamil dirujuk psikiatri

SUNGAI BESAR, 3 OGOS: Peguam yang mewakili seorang lelaki yang dituduh membunuh wanita hamil di Jalan Sungai Limau di sini, memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri.

Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, mengemukakan permohonan tersebut semasa sebutan kes itu hari ini, di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Beliau berkata hasil temu bual pihaknya bersama tertuduh, keadaan mental anak guamnya dilihat tidak stabil.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri, tidak membantah permohonan tersebut dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

“Saya serah kepada mahkamah, sama ada beri perintah tersebut di peringkat ini (Mahkamah Majistret), atau memikirkan bahawa ia suatu yang sesuai untuk ditentukan di mahkamah perbicaraan (Mahkamah Tinggi),” katanya.

Siti Hajar menetapkan 26 Sept depan untuk keputusan permohonan itu.

Pada 1 Jun lepas, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau di sini antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan, perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau di sini, 22 Mei, lepas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias dilaporkan berkata lelaki itu, yang merupakan bekas penuntut kolej membawa mangsa menaiki kereta dan bertengkar dengan wanita itu, sebelum mangsa dipukul di kepala dan dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.

-BERNAMA


Pengarang :