Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung Ekspo Buku PJ

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung sempena Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) edisi ketiga pada 9 hingga 17 September ini.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan program dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) bakal diadakan di Dewan Sivik MBPJ Petaling Jaya, dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Antara aktiviti sepanjang sembilan hari ekspo adalah pertandingan mewarna pelbagai kategori, pertandingan bercerita, bicara buku dan pertandingan menyanyi (action song).

“Temui Didi & Friends pada 9 dan 10 September dan sertai pelbagai lagi acara menarik yang disediakan untuk anda,” maklumnya di Facebook menambah turut diadakan Seminar Perdana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara percuma.

Sebelum ini, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir memaklumkan lebih 30 penerbit buku popular akan menyertai ekspo berkenaan antaranya Karangkraf, Institut Buku Darul Ehsan (IBDE), PTS, Pelangi dan Iman Publications.

Tambahnya MBPJ turut menyediakan baucar pembelian buku kepada pengunjung terawal supaya mereka boleh membeli bahan bacaan yang diminati pada harga lebih rendah.

Rakan strategik MBPJ seperti institusi pengajian awam dan swasta juga turut menjayakan beberapa slot aktiviti kepada pengunjung antaranya pemeriksaan gigi oleh Lincoln University, kepentingan pendidikan awal kanak-kanak oleh Saito University College dan kesedaran keselamatan jalan raya oleh UiTM.


Pengarang :