Calon DUN Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Grand Finale Dun Sungai Tua Di Dewan Rakyat di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 11 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembentukan Kerajaan Perpaduan penting untuk kestabilan, pulih ekonomi

GOMBAK, 11 OGOS: Kemenangan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) esok menjadi penentu hala tuju ekonomi negara.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan negeri ini menyumbang satu perempat kepada  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus memberi kesan besar terhadap kemajuan Malaysia.

“Kalau (HARAPAN-BN) Selangor gagal, satu perempat ekonomi negara ‘collapse’ (merudum) yang akhirnya negara akan dapat kesan,” katanya berucap pada ceramah umum Grand Finale di padang bola sepak Batu Caves di sini malam ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pembentukan kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya umum (PRU) penting bagi memulihkan ekonomi negara yang terkesan ekoran ketidakstabilan politik selain memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Sebab itu BN, HARAPAN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan bergabung atas nasihat Tuanku kerana kita sedar negara perlu dipulihkan.

“Pulihkan daripada keadaan ekonomi dan politik yang tidak stabil. Sebab itu saya tidak pernah berasa terkilan tidak mengikut beberapa sahabat yang buat Langkah Sheraton sebab kalau buat Selangor akan kacau bilau,” katanya.


Pengarang :