Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bersalaman bersama calon-calon HARAPAN selepas memenangi pilihan raya negeri ke-15 di Hotel Wyndham, Klang pada 12 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemimpin HARAPAN Selangor sepakat Amirudin kekal menteri besar

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor bersetuju untuk mengekalkan wakil rakyat Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar.

“Kita sebut secara konsensusnya menyokong Amirudin sebagai menteri besar, kita sebut begitu dalam surat (kepada istana),” kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor Ir Izham Hashim.

Bercakap kepada Sinar Harian, beliau mengesahkan gabungan itu menghantar tiga nama calon seperti dikehendaki Istana Selangor dalam pemilihan pemimpin tertinggi negeri.

“Memang istana minta tiga nama tetapi nama Amirudin sebagai menteri besar secara konsensus (dipersetujui) dari awal lagi, tiada perubahan sejak awal,” katanya.

Ir Izham turut menafikan dakwaan ada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor terlibat dalam perbincangan berhubung pemilihan calon lain selepas pilihan raya negeri (PRN).

Sebelum ini, media melaporkan majlis angkat sumpah jawatan Dato’ Menteri Besar mungkin diadakan selewat-lewatnya Isnin depan bagi memberi ruang kepada istana membuat persiapan sewajarnya.

Ia berikutan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sedang pulih daripada pembedahan prostat di London baru sahaja pulang ke tanah air.

Dalam PRN Sabtu lalu, HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) Selangor menang 34 daripada keseluruhan 56 kerusi untuk kembali membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

 


Pengarang :