Sebahagian ahli dan jentera parti hadir sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kerajaan Perpaduan di Pejabat UMNO Kelantan pada 29 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengundi tunjuk minat tukar kerajaan Kelantan walau PAS diramal kekal

SHAH ALAM, 11 Ogos: Walaupun tiga negeri yang dikuasai PAS dijangka kekal dalam pilihan raya negeri esok tetapi minat untuk mempertahan Kelantan paling rendah berbanding Terengganu dan Kedah.

“Mengikut data, untuk soalan kerajaan negeri wajar dikekalkan, Kelantan paling rendah dengan hanya 57 peratus bersetuju,” kata firma tinjauan pendapat Ilham Centre dalam laporannya hari ini.

“Peratus paling rendah antara negeri di bawah pentadbiran PAS. Terengganu sebanyak 61 peratus dan Kedah sebanyak 67 peratus.”

Dalam tinjauan sepanjang tempoh berkempen antara 29 Julai hingga 8 Ogos lalu, firma itu juga meramalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kekal di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN).

Walau negeri Perikatan Nasional (PN) diasak kuat oleh HARAPAN-BN, usaha merampas dua negeri Pantai Timur sukar kerana tiada tokoh berwibawa, calon kurang meyakinkan dan tiada gelombang penolakan yang kuat khususnya di Kelantan.

Namun, gabungan tersebut berdepan masalah merampas Kedah susulan faktor Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, malah kesilapan strategi boleh menyebabkan HARAPAN-BN hilang kerusi.

Secara keseluruhan, sokongan pengundi pada pilihan raya enam negeri ini diramal tidak berubah ketara daripada corak pengundian dalam pilihan raya umum November lalu dengan beberapa peralihan kerusi tertentu.

Prestasi cemerlang pentadbiran Selangor memberi keyakinan kepada pengundi untuk menyokong HARAPAN-BN. Kekuatan gabungan ini juga ketara di Pulau Pinang.

Gabungan Kerajaan Perpaduan juga kukuh di Negeri Sembilan berikutan undi asas BN dalam kalangan pengundi Melayu terlalu besar, manakala HARAPAN menguasai kawasan campuran dan bermajoriti Cina.

Tinjauan Ilham Centre melibatkan 2,304 responden dari enam negeri ini. Ralat kesilapan pula dianggar dua peratus, manakala tahap keyakinan 95 peratus.


Pengarang :