Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Pentas Perpaduan N16 Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 5 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pertahankan Selangor, tolak parti pemecah belah perpaduan dalam PRN

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 6 OGOS : Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru rakyat agar bangkit mempertahankan Selangor dengan menolak parti perosak dan pemecah belah perpaduan dalam pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu berkata negeri ini tidak akan pulih dengan cepat, maju dan bangkit jika rakyatnya berpecah dan terus bersengketa.

“Negeri ini juga tidak akan terus kukuh dan dipandang tinggi oleh negeri-negeri jiran dan rakan-rakan di luar sana kalau kita melayan permainan perpecahan, perkauman, perbezaan dan hanya mencari salah bukan mencari titik penyelesaian untuk rakyat dan negara,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penyokong selepas ceramah Pentas Perpaduan N16 Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 5 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu berkata demikian di hadapan ratusan penduduk dan penyokong dalam program ceramah Pentas Perpaduan N16 Sungai Tua di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar memberitahu beliau juga percaya rakyat berbilang kaum di negeri ini ingin kekal bersatu padu dan mahu kerajaan yang stabil.

Sehubungan itu beliau merayu rakyat negeri ini agar menyokong HARAPAN dan Barisan Nasional dalam pilihan raya ini dan jangan terikut-ikut dan termakan hasutan mereka yang ingin mencari pasal, menukar kerajaan dan Perdana Menteri.

“Saya percaya dua tiga hari ini mereka akan lebih agresif sebab angka dan data mereka tak boleh lawan… yang dia tinggal fitnah, caci maki, hina dan cerca orang.

“Ingat ini nasib dan masa depan kita dan saya percaya kita boleh dan kita semua akan jadi lebih baik. Dengan perpaduan ini mari sambung kerja kita lima tahun lagi,” ujarnya.

 


Pengarang :