Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PKNS Saharom Mohni bergambar bersama pemain dan wakil pengurusan kejohanan sempena Majlis pelancaran dan sesi undian Liga Bola Tampar PKNS di Dewan Astar, Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 14, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS julung kali anjur liga bola tampar, lapan pasukan berentap

SHAH ALAM, 28 OGOS : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan Liga Bola Tampar Jemputan mulai 12 hingga 17 September ini, bertempat di Dewan Bola Tampar MBSA, Seksyen 4 di sini.

Pengurus Besar Kanan Pentadbirannya Saharom Mohni berkata acara buat julung kalinya itu menampilkan lapan pasukan yang terdiri pemain kebangsaan dan berpengalaman dari serata negeri.

“Kejohanan ini merupakan medium terbaik bagi pemain untuk menunjukkan kebolehan agar terpilih untuk bermain dengan pasukan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Penganjuran ini juga secara tidak langsung membantu mempromosi nama PKNS kepada masyarakat bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis pelancaran dan sesi undian Liga Bola Tampar  PKNS di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Seksyen 14, di sini, hari ini.

Saharom berkata kejohanan itu berlangsung mengikut format liga berkumpulan yang menggunakan format lima set terbaik dengan kiraan 25 mata pada setiap set.

“Lapan pasukan yang berentap akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B. Dua pasukan terbaik peringkat kumpulan akan bermain di peringkat separuh akhir dan pemenang (separuh akhir) akan berentap di perlawanan akhir bagi menentukan kejuaraan,” katanya.

Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PKNS Saharom Mohni (kanan) dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Tampar Malaysia Giam Fook Pang (kiri) mempamerkan piala kejohanan sempena Majlis pelancaran dan sesi undian Liga Bola Tampar PKNS di Dewan Astar, Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 14, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kejohanan dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM20,500.

Kumpulan yang berjaya merangkul gelaran johan bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 diikuti RM6,000 (naib johan); RM3,000 (tempat ketiga) dan RM1,500 (tempat keempat) selain pingat kepada setiap pemain.

Sesi undian rasmi hari ini menyaksikan lapan pasukan bakal berentap iaitu PKNS Eagle, MBSA, Kuala Lumpur Shark, Johor Tiger, Sabah Rhino, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia Gladiator dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Antara rakan penaja yang menyokong acara ini adalah Elite Sport serta Worldwide Holdings Berhad dan anak syarikat PKNS.

Peminat sukan itu boleh menyaksikan kesemua perlawanan secara langsung menerusi saluran 801 Astro Arena yang merupakan media penyiaran rasmi bagi kejohanan terbabit.


Pengarang :