Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon melawat ke tapak pameran rumah ketika program Home Buyer di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 26 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS yakin capai sasaran bangun 5,000 rumah hingga akhir tahun

SHAH ALAM, 26 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yakin sasaran membina 5,000 unit rumah membabitkan enam projek seluruh negeri mampu dicapai menjelang akhir tahun ini.

Timbalan ketua pegawai eksekutif (pengurusan dan keusahawanan) berkata beberapa projek yang sudah dilancar seperti Residensi Advena, Seksyen 16 di sini dan Puteri Ariana, Kota Puteri, Rawang kini dalam fasa pembinaan.

“Alhamdulillah, pembinaan projek rumah teres dua tingkat termasuk pangsapuri yang dilancar PKNS sudah bermula dan berjalan agak baik.

“Daripada segi jualan pula lihat kepada projek. Misalnya rumah teres dua tingkat di Puteri Ariana, 70 peratus daripada 72 unit sudah terjual setakat ini,” kata Suhaimi Kasdon.

Pengunjung melihat model rumah contoh ketika program Home Buyer di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 26 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ditemui pada pelancaran program ‘Home Buyer’ di Kompleks PKNS hari ini, beliau turut memaklumkan projek pembinaan rumah di Antara Gapi, Serendah, Hulu Selangor akan dilancar pada Oktober.

Pada 1 Mei lalu, Suhaimi menyasar nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1 bilion bagi enam projek perumahan hartanah baharu sehingga akhir tahun ini.

Projek itu melibatkan lebih 5,000 unit rumah di beberapa lokasi antaranya Shah Alam, Kota Puteri, Kuala Selangor, Antara Gapi dan Selangor Cyber Valley.


Pengarang :