Syarikat semikonduktor Infineon Technologies (Infineon) AG mula beroperasi di Melaka sejak 1973 iaitu satu-satunya kilang milik syarikat itu yang beroperasi di luar Amerika Syarikat dan Eropah. Foto Facebook Infineon Technologies Melaka
AGENDANASIONAL

PM: Infineon tambah pelaburan RM25 bilion, yakin kestabilan politik negara

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat semikonduktor Infineon Technologies (Infineon) AG mengambil keputusan membuat pelaburan tambahan lima billion euro (RM25 bilion) baru-baru ini selepas diyakinkan tentang keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Beliau mendedahkan syarikat dari Jerman itu telah menyuarakan kebimbangan berhubung ketidakstabilan politik negara ketika hendak membuat pelaburan tambahan berkenaan.

“Saya kata insya-Allah lima tahun tanpa gangguan, kita terangkan tentang dasar ekonomi, kita jelaskan tentang konsep Malaysia Madani, mereka berpuas hati Alhamdulillah,” katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Perdana di Ukay Perdana, dekat sini malam tadi.

Pada masa yang sama, Anwar berkata syarikat berkenaan turut menyuarakan kerisauannya dan meminta kepastian tentang kewujudan puak pelampau agama dan bangsa di dalam negara.

“Dia bimbang takut golongan ini menang. Saya kata tak menang, insya-Allah. Bila jawab begitu, dia (Infeneon) bawa ke mesyuarat lima hari yang lalu di Jerman,” katanya.

Khamis lepas, Infineon mengumumkan perancangan untuk meningkatkan kemudahannya di Kulim, Kedah bagi membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sebanyak lima bilion euro bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sejak lima dekad lepas, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka.

– BERNAMA


Pengarang :