Calon Pakatan Harapan DUN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni menunjukkan keadaan Jalan Sopan di Kampung Johan Setia, Klang yang rosak akibat dilalui kenderaan berat pada 6 Ogos 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Naik taraf jalan rosak di DUN Sungai Kandis antara tumpuan utama Zawawi

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 7 OGOS: Usaha menaik taraf jalan rosak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis antara tumpuan utama Mohd Zawawi Ahmad Mughni sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata peruntukan RM1 juta dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudahpun diluluskan bagi menaik taraf Jalan Sekolah dan Jalan Sopan di Johan Setia.

“Jalan ini sudah beberapa kali dibaiki namun permukaan jalan kembali rosak kerana ia menjadi laluan kenderaan berat.

“Penduduk setempat mengadu kerana jalan ini adalah laluan utama ibu bapa berulang alik menghantar anak ke sekolah selain penduduk di perumahan sekitar,” katanya.

Sebelum ini, penyandang kerusi DUN Sungai Kandis turut melaksanakan kerja naik taraf parkir Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia dengan peruntukan bawah Projek Selangor Penyayang (PSP)berjumlah RM40,000.

PSP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri berteraskan pembangunan fizikal dan dilaksanakan di kesemua 56 DUN mulai September 2022.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Selangor memperuntukkan RM28 juta sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan projek itu melibatkan penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

 

 

 


Pengarang :