Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut meriah oleh lebih 1,000 penyokong sebaik tiba di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat sempena ceramah Jelajah Perpaduan PMX @ Tanjung Sepat pada 1 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM jamin pelihara hak istimewa kaum Melayu

OLEH AMIRUL FAZLI

KUALA LANGAT, 2 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kedudukan istimewa kaum Melayu akan terus dipelihara bawah kerajaan perpaduan pimpinannya.

Menepis dakwaan pentadbirannya menjejaskan kedudukan orang Melayu, beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional bersetuju memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu terbela.

“Ada pihak berkata di bawah kepimpinan saya akan menjejaskan kedudukan orang Melayu tapi saya tegaskan ia tidak akan berlaku.

“Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah bersetuju untuk memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” ucapnya.

Anwar berucap demikian pada program kenduri rakyat DUN Morib di Dewan Putra, Kampong Sawah, Kuala Langat, malam tadi.

Sebelum ini, ada pihak tertentu cuba memainkan isu kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk memberi gambaran kurang baik bawah kepimpinan beliau.


Pengarang :