Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) mententeramkan seorang ahli keluarga mangsa ketika menziarah keluarga waris mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, semalam, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 18 Ogos 2023. Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Seri Amirudin Shari, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kerajaan bantu ringan beban keluarga mangsa nahas pesawat, mudahkan urusan jenazah

KLANG, 18 OGOS: Kerajaan sedia membantu pengurusan jenazah 10 mangsa nahas pesawat terhempas termasuk bantuan yang diperlukan keluarga mangsa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu bagi meringankan beban keluarga, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya, timbalan perdana menteri, menteri besar Selangor, menteri besar Pahang semua mengucapkan takziah pada keluarga dan berharap keluarga bersabar… tiada sesiapa menjangka (insiden).

“Cuma apa boleh kita lakukan sekarang percepat proses forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan bantu untuk ringankan beban keluarga. Kita beri semua bantuan diperlukan untuk uruskan jenazah, semua kelengkapan dan penginapan.

“Selain itu, kerajaan akan bagi bantuan kepada keluarga untuk menampung terutama yang tiada pekerjaan tetap,” katanya ketika menziarahi keluarga mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang tengah hari tadi.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Seri Amirudin Shari, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan rasa syukur dan berbangga atas usaha pelbagai pihak menguruskan insiden tersebut dengan cekap.

“Saya ikuti dari semalam dan bersyukur kerana pasukan keselamatan, jabatan agama, forensik hospital serta badan kebajikan lain semua menguruskan begitu cekap. Saya berbangga dan terima kasih,” katanya.

Dalam kejadian semalam, 10 individu disahkan maut dengan enam daripadanya adalah penumpang termasuk EXCO Pahang Dato’ Seri Johari Harun dan dua kru pesawat ringan itu

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang semalam.


Pengarang :