Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berucap pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Flat Kampung Melayu Air Itam, Pulau Pinang pada 5 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kestabilan kerajaan perpaduan tarik pelaburan asing, cipta peluang kerja

GEORGE TOWN, 6 OGOS: Politik negara yang stabil di bawah kerajaan perpaduan selain dasar ekonomi yang jelas telah berjaya menarik pelaburan asing ke Malaysia dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata perkara ini dibuktikan dengan beberapa pelaburan baharu dari luar negara seperti Tesla yang sudah menyatakan hasratnya untuk membuka ibu pejabat bagi rantau ini di Cyberjaya.

“Syarikat (automotif China iaitu Zhejiang) Geely (Holding Group Co Ltd) saya jumpa di Beijing dan 10 hari sudah mereka tulis surat kepada saya dan setuju jadikan Tanjung Malim, Perak sebagai kota pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Asia tenggara untuk eksport ke luar negara, mereka melabur RM10 bilion,” katanya semasa berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, turut menafikan pelaburan oleh penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG, dibawa masuk oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kulim, Kedah sebaliknya berkata ia adalah usaha Kerajaan Persekutuan.

“MB Kedah kata ‘saya yang bawa pelaburan itu kerana perbincangan dua tahun lepas,’ inilah masalah politik, saya nak bagi tahu dia yang Infineon jumpa saya dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bagitahu nak melabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

“Ia projek Kerajaan Persekutuan… bulan sudah mereka kata nak melabur tapi belum tentu melabur di Malaysia kerana belum buat keputusan nak labur di mana, sama ada Amerika, Eropah dan negara lain tapi mereka tanya politik negara stabil atau tidak, saya jawab positif kita stabil dan kekal lima tahun lagi hingga pilihan raya akan datang.

“Empat hari lalu, mereka buat keputusan nak melabur di sini tapi MB Kedah kata dua tahun lepas dah bagitahu kat dia, dia boleh tengok kenyataan (ahli) lembaga (syarikat) yang memutuskan untuk melabur di Malaysia sebanyak EUR5 bilion empat hari lepas,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :